Pelancaran Program Transisi Dan Guru Penyayang
- Butiran
- Dikemaskini pada Isnin, 06 Januari 2014 13:45
- Diterbitkan pada Isnin, 06 Januari 2014 08:32
- Pengarang: SK Sena
SK SENA, Kangar - Sekolah Kebangsaan Sena hari ini melancarkan Program Transisi dan Guru Penyayang 2014 yang merupakan salah satu program tahunan awal persekolahan di Malaysia. Program tersebut berfokuskan kepada aktiviti-aktiviti pengenalan kepada dunia persekolahan untuk murid-murid Tahun 1 dan Prasekolah, serta pelaksanaan Dasar Guru Penyayang Kementerian Pendidikan Malaysia melibatkan semua guru dan murid.
Majlis pelancaran yang berjalan serentak dengan sesi perhimpunan rasmi itu bermula seawal jam 7.40 pagi di Dataran Sena, dan telah dirasmikan oleh Guru Besar SK Sena, En. Roslan bin Yatim. Dalam ucapannya, beliau menyeru semua murid untuk terlibat secara aktif dalam aktiviti persekolahan, serta menasihatkan para murid untuk membantu menjadikan suasana persekolahan lebih selesa untuk murid-murid baru. Selesai ucapan, beliau menyerahkan satu set buku teks untuk Penyelaras Tahun 1, Pn. Habsah binti Hassan sebagai gimik pelancaran. Satu persembahan ringkas oleh murid-murid Tahun 1 Intan turut diadakan untuk memeriahkan lagi majlis.
Sekolah Kebangsaan Sena mengucapkan selamat maju jaya kepada semua murid yang baru mendaftarkan diri, dan mengharapkan agar aktiviti-aktiviti yang telah dirancang untuk program transisi 2014 berjalan lancar. Liputan program disediakan oleh MEDIASENA (Jurukamera: Aiman Hakim Aziz).