Mesyuarat Agung PIBG
- Butiran
- Dikemaskini pada Isnin, 10 Februari 2014 12:33
- Diterbitkan pada Isnin, 10 Februari 2014 12:02
- Pengarang: SK Sena
SK SENA, Kangar - Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Sena 2014 telah dijalankan pada 8 Februari yang lalu di Kantin sekolah melibatkan para guru serta ibu, bapa dan penjaga murid SK Sena. Majlis yang bermula seawal jam 8.30 pagi itu telah dimulakan dengan pelantikan Jawatankuasa PIBG untuk sesi 2014 dan perbincangan usul-usul yang telah dikemukakan oleh pihak ibu bapa kepada sekolah. Mesyuarat berhenti sebentar pada jam 10.30 pagi untuk memberi laluan kepada majlis perasmian yang telah disempurnakan oleh Menteri Besar Perlis, YAB Tn. Azlan bin Man.
Ketika berucap merasmikan majlis, Tn. Azlan menegaskan kepada semua hadirin agar berusaha untuk meneruskan kecemerlangan yang telah dibina selama ini, dan tidak leka dengan kegemilangan lampau. Beliau juga mengajak ibu bapa agar menjadikan sasaran Gred Purata Sekolah untuk UPSR 2014 sebagai sesuatu yang perlu diusahakan bersama melalui sumbangan masa, tenaga dan wang ringgit dalam usaha memastikan kejayaan murid-murid dan sekolah terus dapat ditingkatkan. Pada masa yang sama, Tn. Azlan turut menyebutkan bahawa SK Sena wajar menjadi contoh kepada sekolah-sekolah lain di Malaysia kerana telah berjaya mencatatkan pelbagai pencapaian sehingga ke peringkat antarabangsa, termasuklah melahirkan tokoh murid dalam Anugerah Kecemerlangan Kokurikulum Peringkat Kebangsaan 2013.
Selesai perasmian, mesyuarat diteruskan dengan jamuan tengahari dan perbincangan usul sebelum tamat sekitar jam 1.00 petang. Pihak sekolah mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat menjayakan Mesyuarat Agung PIBG 2014. Liputan program disediakan oleh MEDIASENA (Jurukamera: Muhammad Ehsan Zubaidi, Muhammad Rafiq Mohd Redzuan, Muhammad Qhalif Azariq Sahzan dan Muhammad Faiq Hafiy Mohd Fauzan).