Pelancaran Program NILAM 2013
- Butiran
- Dikemaskini pada Isnin, 04 Mac 2013 08:55
- Diterbitkan pada Isnin, 04 Mac 2013 08:55
- Pengarang: SK Sena
SK SENA, Kangar - Sekolah Kebangsaan Sena hari ini melancarkan program Nadi Ilmu Amalan Membaca (NILAM) peringkat sekolah dalam usaha untuk meningkatkan minat membaca dalam kalangan murid. Program NILAM yang bermatlamat untuk meningkatkan tahap dan tabiat membaca tersebut melibatkan beberapa komponen seperti aktiviti-aktiviti galakan membaca, penyediaan bahan bacaan yang bersesuaian dan mencukupi, serta mempelbagaikan masa dan ruang untuk membaca dalam pelbagai situasi dan lokasi. Program NILAM di peringkat sekolah diuruskan oleh Pusat Sumber Sekolah (PSS).
Majlis pelancaran NILAM SK Sena 2013 dimulakan dengan ucapan perasmian oleh Guru Besar, En. Roslan bin Yatim. Dalam ucapannya, beliau menekankan kepada para murid tentang kepentingan membaca dalam apa sahaja keadaan untuk memastikan agar masa yang terluang dapat diisi dengan cara yang berfaedah. Seterusnya, beliau telah menyempurnakan gimik pelancaran dengan memecahkan belon sebagai simbolik permulaan pelaksanaan program NILAM untuk tahun 2013. Majlis kemudiannya diteruskan dengan acara penyampaian hadiah galakan membaca berupa basikal kepada murid-murid yang telah mencatatkan jumlah bacaan tertinggi untuk rekod semasa. Selesai penyampaian hadiah, semua guru dan murid menyanyikan lagu rasmi program NILAM.
Pihak sekolah mengucapkan tahniah kepada pengurusan PSS atas kesungguhan dalam menjayakan pelaksanaan program NILAM di peringkat sekolah, dan mengharapkan agar semua aktiviti yang telah dirancang sempena program tersebut dapat dijalankan dengan lancar. Liputan majlis disediakan oleh MEDIASENA.