Mesyuarat Kerjasama SK Sena - UPSI
- Butiran
- Dikemaskini pada Sabtu, 05 Januari 2013 17:47
- Diterbitkan pada Rabu, 10 November 2010 15:53
- Pengarang: SK Sena
UPSI, Tanjung Malim - Seramai 10 orang wakil daripada Sekolah Kebangsaan Sena berada di Universiti Pendidikan Sultan Idris pada 4 November 2010 yang lalu untuk menghadiri satu mesyuarat kerjasama atas jemputan Pusat Teknologi Maklumat dan Komunikasi UPSI melalui Pengarahnya, Tn. Hj. Mohd Nazri bin Md Saad. Beliau yang turut menghadiri Persidangan Perisian Sumber Terbuka Kerajaan Malaysia (MyGOSSCON) 2010 di PICC, Putrajaya telah tertarik dengan inisiatif sumber terbuka SK Sena, dan telah mencadangkan agar pihak sekolah dan UPSI bekerjasama untuk mengembangkan penggunaan perisian sumber terbuka antara kedua-dua buah institusi tersebut. Sehubungan itu, mesyuarat kerjasama yang telah diadakan membincangkan tentang bidang-bidang kerjasama yang dapat dijalankan, khususnya dalam penghasilan bahan Pembelajaran dan Pengajaran, latihan kemahiran multimedia dan program pensijilan guru dan murid dalam kemahiran-kemahiran penggunaan perisian sumber terbuka. Guru Besar Sekolah Kebangsaan Sena, En. Roslan bin Yatim ketika memberikan ulasan menyatakan bahawa kerjasama antara SK Sena dan Universiti Pendidikan Sultan Idris akan dapat meluaskan lagi jaringan permuafakatan antara Sekolah Kebangsaan Sena sebagai Sekolah Kluster Kecemerlangan Malaysia dengan universiti yang telah sedia wujud sebelum ini, melibatkan Universiti Malaysia Perlis dan Universiti Sains Malaysia.
Turut hadir dalam mesyuarat berkenaan ialah Prof. Dr. Rosly Jaafar dari Jabatan Fizik, Fakulti Sains dan Matematik UPSI, Dr.-Ing. Maizatul Hayati bt Mohd Yatim, Timbalan Dekan Akademik dan Pembangunan Pelajar, Fakulti Seni, Perkomputeran dan Industri Kreatif UPSI, serta beberapa orang lagi staf pengurusan dan tenaga pengajar Universiti Pendidikan Sultan Idris. Pada majlis yang sama, rombongan SK Sena telah dibawa melawat dewan kuliah UPSI yang dilengkapi dengan kemudahan teknologi terkini. Sekolah Kebangsaan Sena mengucapkan terima kasih kepada Tn. Hj. Mohd Nazri bin Saad serta semua anggota UPSI yang telah sudi menerima kunjungan wakil-wakil sekolah dalam majlis tersebut, dan mengharapkan agar program-program kerjasama yang telah dirancangkan dapat berjalan dengan lancar untuk manfaat semua pihak.