SK Sena Di Royal Perlis Celebration Golf Welcome Dinner
- Butiran
- Dikemaskini pada Sabtu, 05 Januari 2013 17:47
- Diterbitkan pada Sabtu, 21 Mei 2011 10:55
- Pengarang: SK Sena
DEWAN 2020, Kangar - Satu majlis makan malam sempena Royal Perlis Celebration Golf telah diadakan di sini pada 13 Mei yang lalu anjuran kerajaan negeri Perlis dengan tajaan utama oleh The Mines Resort and Golf Club. Hadir dalam majlis berkenaan ialah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, Tuanku
Raja Perlis bersama Tuanku Raja Perempuan Perlis, Tuanku Raja Muda Perlis dan Tuanku Raja Perempuan Muda Perlis. Antara tetamu kenamaan yang lain ialah Pengerusi Royal Perlis Celebration Golf, Dato' Seri Diraja Syed Razlan Ibni Al-Marhum Syed Putra Jamalullail, Pengerusi Bersama, Tan Sri Lee Kim Yew yang juga merupakan pengerusi The Mines Resort and Golf Club, dan Timbalan Pengerusi, Dato' Azizan bin Hamid sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis.
Selain itu, majlis turut diserikan dengan kehadiran jemputan dari beberapa buah negara, termasuk Duta Indonesia ke Malaysia, Duta China ke Malaysia, Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Kuala Lumpur, serta beberapa orang pemain golf ternama dunia dari Amerika Syarikat dan United Kingdom, iaitu Lance Reader, Joe Miller, Kevin Shook dan Jean Daniels. Acara bermula pada jam 9.00 malam dengan ketibaan DYMM Tuanku Raja Perlis dan nyanyian lagu Amin-Amin. Sambutan kemudian diteruskan dengan persembahan oleh pasukan angklung Sekolah Kebangsaan Sena, persembahan sketsa, serta ucapan daripada Yang Berhormat Mulia Dato' Seri Diraja Syed Razlan dan Yang Berhormat Menteri Besar Perlis, Dato' Seri Dr. Md Isa bin Sabu.
Seterusnya, DYMM Tuanku Raja Perlis telah berkenan menerima cenderamata daripada Tan Sri Lee Kim Yew berupa alat simulasi golf yang membolehkan latihan golf dijalankan secara indoor. DYMM Tuanku kemudiannya bertitah kepada para hadirin sebelum menyempurnakan upacara perasmian Royal Perlis Celebration Golf. Jamuan makan malam berlangsung selepas itu dengan beberapa persembahan selingan, termasuklah satu persembahan multimedia, stand-up comic oleh Douglas Lim, pemberian kek kepada Tan Sri Lee Kim Yew dan upacara melepaskan belon. DYMM Tuanku Raja Perlis dan tetamu kenamaan berangkat pulang pada jam 12.00 tengah malam.
CyKidzCRAZE menerima penghormatan apabila telah dijemput oleh kerajaan negeri Perlis bagi menjalankan liputan, temubual bersama para tetamu dan siaran langsung sempena majlis berkenaan. Antara hadirin yang sempat ditemubual oleh CyKidzCRAZE ialah para pemain golf dan Tan Sri Lee Kim Yew sebagai penaja utama Royal Perlis Celebration Golf. Turut menjadi sejarah apabila kru CyKidzCRAZE yang bertugas telah mendapat peluang untuk mengadakan liputan secara Multiple Camera Production (MCP). Sekalung penghargaan kepada Universiti Malaysia Perlis, Jabatan Pelajaran Perlis dan Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Perlis kerana membantu menjayakan liputan tersebut.
Sekolah Kebangsaan Sena mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada kerajaan negeri Perlis, jawatankuasa Royal Perlis Celebration Golf dan semua pihak yang telah terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam memberi peluang kepada SK Sena untuk menjadi sebahagian daripada majlis sambutan tersebut. Pihak sekolah mengharapkan agar peluang dan kerjasama seperti ini akan sentiasa berterusan pada masa hadapan. Maklumat lanjut tentang Royal Perlis Celebration Golf boleh didapati di http://www.royalpcg.com/. Nantikan video liputan di Galeri Video SK Sena.