Mesyuarat e-Kreativiti SKMM dan PPD Kubang Pasu
- Butiran
- Dikemaskini pada Sabtu, 05 Januari 2013 17:47
- Diterbitkan pada Jumaat, 04 November 2011 11:19
- Pengarang: SK Sena
SKSAT, Jitra - Satu mesyuarat kerja program e-Kreativiti Pemudah Cara Dalam Pendidikan telah diadakan di Bilik Mesyuarat SK Sultan Ahmad Tajuddin, Jitra, Kedah kelmarin. Program tersebut yang dianjurkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) cawangan Utara turut melibatkan kerjasama pihak Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kubang Pasu, Kedah serta sekolah-sekolah di bawah pengurusan PPD tersebut. Semasa berucap mempengerusikan majlis, En. Ismail bin Othman, Timbalan Pengarah merangkap Pengarah Operasi SKMM cawangan Utara menerangkan bahawa program ini akan menfokuskan kepada
pelajar-pelajar sekolah menengah Daerah Kubang Pasu yang telah menerima netbook 1Malaysia, dan akan menjurus kepada memupuk penggunaan komputer secara positif dan bermanfaat. Beliau turut menegaskan bahawa program ini akan menggunakan Perisian Sumber Terbuka (FLOSS) sebagai pengantara, termasuk sebagai sistem operasi utama yang akan digunakan sepanjang program.
Sekolah Kebangsaan Sena terlibat sebagai instruktor ICT dan fasilitator berdasarkan jemputan daripada pihak SKMM. Pembantu Teknikal S.E.N.A CyQUEST daripada SK Sena dijangka menyampaikan kemahiran tentang pemasangan dan penggunaan Ubuntu GNU/Linux serta penggunaan pelbagai aplikasi dalam sistem operasi tersebut seperti Kdenlive, GIMP, Celtx dan pakej pendidikan Edubuntu. Selain itu, sebilangan anggota MEDIASENA akan turut terlibat sebagai fasilitator kepada peserta-peserta yang mengambil bahagian. Di akhir program, semua peserta akan diberi masa selama dua minggu untuk menyiapkan tugasan berbentuk pertandingan, di mana kumpulan peserta yang berjaya menerbitkan hasil kerja yang terbaik akan menerima hadiah daripada pihak penganjur.
Program ini merupakan yang pertama seumpamanya, dan merupakan projek rintis bagi modul e-Kreativiti SKMM. Menurut En. Ismail, pelaksanaan program seperti ini berpotensi untuk membangunkan modal insan melalui ICT di Malaysia. Turut hadir dalam mesyuarat berkenaan ialah Tn. Hj. Abd Kadir bin Mahamood, Penolong Pengarah Sektor ICT, Jabatan Pelajaran Negeri Kedah dan En. Ahmad Zaky Naimy bin Ismail, Penyelia Kokurikulum, Pejabat Pelajaran Daerah Kubang Pasu, Kedah. Sekolah Kebangsaan Sena mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur kerana memberikan peluang kepada pihak sekolah untuk turut serta dalam program yang akan dijalankan.