Kem ICT 2011
- Butiran
- Dikemaskini pada Sabtu, 05 Januari 2013 17:47
- Diterbitkan pada Selasa, 20 Disember 2011 13:39
- Pengarang: SK Sena
UniMAP, Seberang Ramai - MEDIASENA melalui S.E.N.A CyQUEST telah menganjurkan program Kem ICT pada 18 - 19 Disember 2011 bertempat di Makmal Rangkaian Komputer (MKR 2), Universiti Malaysia Perlis, Seberang Ramai, Kuala Perlis. Program tersebut yang melibatkan murid-murid Tahun 3 dan 4 SK Sena memaparkan penggunaan Perisian Sumber Terbuka dan Bebas (Free, Libre and Open Source Software) yang dikenali
sebagai "Scratch" untuk melatih asas pengaturcaraan komputer dan penghasilan animasi ringkas 2-Dimensi. Scratch merupakan satu perisian komputer yang telah diterbitkan oleh Lifelong Kindergarten Group di Massachusetts Institute of Technology, Amerika Syarikat. Maklumat lanjut tentang Scratch boleh didapati di laman web http://scratch.mit.edu/. Pada masa yang sama, penggunaan Scratch turut dapat melatih murid-murid sekolah dalam kaedah berfikir secara langkah-demi-langkah, atau apa yang disebut sebagai "sequential thought process". Kaedah berfikir sedemikian amat penting dalam bidang sains/pengaturcaraan komputer dan pemikiran logikal.
Program dimulakan dengan pendaftaran peserta seawal jam 8.00 pagi. Para peserta kemudiannya dibahagikan kepada kumpulan-kumpulan latihan yang diketuai oleh fasilitator MEDIASENA. Seterusnya, mereka diperkenalkan kepada antaramuka Scratch. Para peserta kemudiannya diajar tentang elemen-elemen yang ada dalam pengaturcaraan Scratch, termasuklah pelbagai arahan, watak (Sprite) dan set pentas (Stage) yang disediakan. Di akhir program, para peserta dikehendaki menghasilkan animasi ringkas berdasarkan cerita yang diberi, dengan bantuan fasilitator kumpulan masing-masing.
Pertandingan tersebut menyaksikan sebanyak 15 kumpulan peserta berentap untuk memenangi tiga tempat teratas. Hadiah-hadiah telah disampaikan oleh Ketua Bitara ICT, Pn. Chik @ Rohana binti Abd Ghani. Pihak penganjur turut mengucapkan terima kasih kepada semua guru yang terlibat memberikan sumbangan masing-masing dalam menjayakan Kem ICT 2011.