SK Sena Raih Pingat Dalam i-ENVEX 2013
- Butiran
- Dikemaskini pada Isnin, 22 April 2013 17:40
- Diterbitkan pada Isnin, 22 April 2013 09:24
- Pengarang: SK Sena
UniMAP, Pauh Putra - Tiga pasukan Kelab Jurutera Tunas Muda SK Sena mencatatkan kejayaan cemerlang, masing-masing dengan satu pingat Emas, Perak dan Gangsa High School Category, International Engineering Invention and Innovation Exhibition (i-ENVEX) 2013 dalam pertandingan yang dianjurkan oleh Universiti Malaysia Perlis di sini pada 17 hingga 19 April yang lalu. i-ENVEX merupakan program antarabangsa yang dianjurkan secara tahunan oleh UniMAP melibatkan pelbagai Institusi Pengajian Tinggi dari dalam dan luar negara, serta sekolah-sekolah menengah seluruh Malaysia. SK Sena merupakan satu-satunya penyertaan sekolah rendah dalam acara tersebut.
Tiga produk SK Sena iaitu BreadFriend, Foldable Broom dan Eazzy BabyBag turut mencatat sejarah apabila menjadi produk dan pasukan pertama SK Sena yang menyertai dan memenangi pingat dalam program sedemikian. Hadiah-hadiah utama telah disampaikan kepada para pemenang dalam satu majlis yang telah dirasmikan oleh Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Syed Faizuddin Putra ibni Syed Sirajuddin Jamalullail, Raja Muda Perlis pada 18 April di Dewan Kapitol UniMAP, Kangar. Selain pingat-pingat yang telah disebutkan, produk BreadFriend juga berjaya merangkul Anugerah Saintis Muda EYReC, atau EYReC Young Scientist Award yang telah disampaikan sendiri oleh Tuanku Raja Muda Perlis, dan akan mewakili Malaysia dalam International Exhibition for Young Inventors (IEYI) 2013 di Kuala Lumpur Convention Center pada 9 hingga 11 Mei nanti. Para peserta SK Sena telah berkesempatan untuk bertemu dan membina hubungan persahabatan dengan peserta-peserta dari dalam dan luar negara dalam pameran dan majlis yang diadakan. Antara sekolah lain yang turut mengambil bahagian ialah Malay College Kuala Kangsar (MCKK), Sekolah Tun Fatimah (STF), Sekolah Menengah Sains Johor, Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR), Sekolah Menengah Agama Persekutuan (SMAP) Labu, Sekolah Raja Perempuan Taayah, Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra (SMSTSP), Sekolah Menengah Sains Tengku Muhammad Faris Petra (SMSTMFP) dan banyak lagi.
Penyertaan SK Sena dalam i-ENVEX 2013 merupakan kesinambungan daripada mesyuarat perancangan kerjasama antara UniMAP dengan Sekolah Kluster Kecemerlangan (SKK) yang telah berlangsung pada 7 Januari yang lalu. Dalam mesyuarat tersebut, salah satu perkara yang dipersetujui bersama ialah untuk menubuhkan Kelab Jurutera Tunas Muda SK Sena sebagai salah satu Chapter kepada ENVEX Young Researchers Club (EYReC), UniMAP. Pihak sekolah mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada pihak Universiti Malaysia Perlis atas segala bimbingan dan khidmat nasihat yang telah diberikan kepada para murid dan guru sepanjang proses persediaan. Mengulas tentang penyertaan SK Sena dalam i-ENVEX 2013, Guru Besar, En. Roslan bin Yatim menyatakan bahawa kejayaan berkenaan bukan sahaja menunjukkan bahawa warga sekolah mampu berjuang sehingga ke peringkat tertinggi, malah turut menjadi penanda aras kepada pencapaian program permuafakatan IPTA - SKK yang telah dimeterai antara Kementerian Pengajian Tinggi dengan Kementerian Pelajaran Malaysia. Beliau yang hadir sendiri melihat pembentangan dan produk-produk yang dipamerkan berkata, ini terbukti melalui inisiatif yang telah dijalankan oleh UniMAP untuk meningkatkan tahap pengetahuan dan pencapaian sekolah-sekolah seluruh negara dalam pelbagai program di peringkat antarabangsa. Beliau turut menyeru semua murid dan guru untuk merebut peluang yang ada dalam meraih kecemerlangan untuk sekolah dan diri sendiri.
Penghargaan dan terima kasih juga disampaikan kepada semua pihak yang telah memberikan kerjasama, sokongan dan bantuan ke arah menjayakan penyertaan SK Sena dalam i-ENVEX 2013, sama ada secara langsung atau tidak langsung.
Maklumat lanjut tentang i-ENVEX boleh dilayari di laman web rasmi program.
PRODUK | PASUKAN | GURU PEMBIMBING |
BreadFriend (Gold Medal & EYReC Young Scientist Award) | Muhammad Ehsan bin Zubaidi Muhammad Rafiq bin Mohd Redzuan Syed Ahmad Muaz bin Syed Zainal Abidin Khilmi Muhammad Danish bin Saidar | Cik Siti Sofiah binti Abdullah |
Foldable Broom (Silver Medal) | Fetima Ezzehra binti Mohd Yusran Siti Najwa binti Mohd Uzor Shah | Cik Azizah binti Hamzah |
Eazzy BabyBag (Bronze Medal) | Tengku Damia 'Atiqah binti Tg Mahmud Nurrin Shafiya binti Shaharin Nureen Fifi Aufa binti Mohd Zaini | Pn. Norhafiza binti Jamil |