SK Sena Dalam Anugerah Inovasi ICT 2012
- Butiran
- Dikemaskini pada Jumaat, 17 Mei 2013 21:24
- Diterbitkan pada Jumaat, 17 Mei 2013 15:18
- Pengarang: SK Sena
KOMPLEKS JABATAN PERDANA MENTERI, Putrajaya - En. Ahmad Ferdaus bin Abd Razak, Pembantu Teknikal S.E.N.A CyQUEST dan En. Saifur Ridzwan bin Mustafa, Penyelaras Sekolah Kluster Kecemerlangan SK Sena berada di Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), di sini pada 16 Mei 2013 untuk satu pembentangan projek bertajuk "TV Sena: Studio Multimedia Dalam Pendidikan" sempena pencalonan Anugerah Inovasi ICT (AIICT) 2012. Pencalonan tersebut yang terbuka kepada semua agensi kerajaan di Malaysia mula diperkenalkan pada tahun 2010 sebagai pengiktirafan dan anugerah terunggul kepada agensi yang telah menghasilkan inovasi dan kecemerlangan ICT bagi mewujudkan sistem penyampaian perkhidmatan yang efektif, mudah dan cepat. Anugerah tersebut juga merupakan salah satu pengiktirafan selain Anugerah Inovasi Pengurusan Kewangan dan Anugerah Inovasi Pentadbiran Daerah dan Tanah yang berasaskan Anugerah Inovasi Perdana Menteri atau dikenali dengan nama asalnya sebagai Anugerah Kualiti Perdana Menteri.
Pembentangan SK Sena kali ini berfokuskan kepada pelaksanaan projek penerbitan audiovisual melibatkan murid-murid yang terlibat dalam pasukan MEDIASENA, dan merupakan saringan kedua selepas pencalonan bertulis yang dihantar pada bulan Februari yang lalu. Pembentangan tersebut yang mengambil masa selama lebih kurang 30 minit memaparkan aspek-aspek seperti kreativiti dalam pelaksanaan, keberkesanan projek, kualiti dan pengiktirafan yang telah diterima, serta perancangan masa hadapan. Saringan seterusnya melibatkan lawatan tapak ke agensi-agensi yang terpilih untuk memasuki fasa tersebut.
Majlis telah dipengerusikan oleh YBhg Dato' Dr. Nor Aliah binti Mohd Zahri, Timbalan Ketua Pengarah (ICT) MAMPU dan telah melibatkan sebanyak 13 orang ahli panel penilai dari pelbagai agensi. Pihak sekolah mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada pihak penganjur atas pemilihan projek SK Sena untuk memasuki fasa kedua pencalonan Anugerah Inovasi ICT 2012, dan mendoakan kejayaan projek berkenaan dalam saringan seterusnya.