Lawatan Tapak AIICT 2012
- Butiran
- Dikemaskini pada Khamis, 06 Jun 2013 13:42
- Diterbitkan pada Khamis, 06 Jun 2013 12:34
- Pengarang: SK Sena
SK SENA, Kangar - Sekolah Kebangsaan Sena telah menerima kunjungan pegawai-pegawai Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) di bawah Jabatan Perdana Menteri, serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) pada 28 Mei 2013 sempena sesi Lawatan Tapak untuk penilaian Anugerah Inovasi ICT (AIICT) 2012. Rombongan tersebut yang diketuai oleh YBhg Dato' Dr. Nor Aliah binti Mohd Zahri, Timbalan Ketua Pengarah (ICT) MAMPU merangkap Pengerusi Panel Juri AIICT 2012 telah disertai oleh seramai tujuh orang ahli panel penilai dan tiga orang anggota urusetia pertandingan untuk tahun ini. Turut hadir mengiringi rombongan tersebut ialah En. Hamidi bin Md Saad, Ketua Unit Inovasi, Sektor Jaminan Kualiti dan En. Ayub bin Ahmad, Ketua Unit Hal Ehwal Murid dari Jabatan Pelajaran Perlis serta pegawai Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri (BTPN) Perlis.
Sesi tersebut merupakan saringan akhir daripada tiga peringkat penilaian AIICT 2013 melibatkan penghantaran laporan projek inovasi secara atas talian (online) yang berakhir pada 18 Februari 2013 dan pembentangan projek di bangunan MAMPU, Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya pada 16 Mei yang lalu. Projek SK Sena yang bertajuk TV Sena: Studio Multimedia Dalam Pendidikan memaparkan pelaksanaan program penghasilan bahan multimedia berdasarkan tatacara profesional menggunakan teknologi Perisian Sumber Terbuka dan Bebas (FOSS) kendalian murid sepenuhnya di SK Sena.
Rombongan panel juri tiba di Dataran Sena pada jam 9.30 pagi di mana satu majlis sambutan ringkas telah diadakan untuk meraikan para tetamu yang hadir. Para tetamu kemudiannya dibawa ke Bilik Mesyuarat SK Sena untuk sesi taklimat dan pembentangan oleh Guru Besar, En. Roslan bin Yatim. Pembantu Teknikal S.E.N.A CyQUEST, En. Ahmad Ferdaus bin Abd Razak meneruskan taklimat dengan menerangkan tentang pelaksanaan projek TV Sena dengan lebih mendalam, diikuti oleh pembentangan tentang penglibatan dalam projek berkenaan oleh wakil murid yang menganggotai MEDIASENA, bekas pelajar yang sedang menuntut sekolah menengah dan para ibu bapa yang mempunyai anak-anak dalam pasukan MEDIASENA. Selesai pembentangan, para juri dibawa melawat ke tiga buah infrastruktur utama pelaksanaan projek TV Sena, iaitu OSSLab, Studio CyKidzCRAZE dan Makmal Komputer SK Sena.
Lawatan AIICT 2012 tersebut berakhir sekitar jam 11.30 pagi dengan satu sesi fotografi melibatkan ahli-ahli panel, para guru, murid dan ibu bapa yang hadir dalam majlis yang telah diadakan. Pihak sekolah mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak penganjuran dan penilaian Anugerah Inovasi ICT 2012 atas peluang yang diberikan kepada SK Sena untuk menjadi sebahagian daripada program berkenaan. Ucapan terima kasih turut disampaikan kepada semua pihak yang telah membantu menjayakan penyertaan SK Sena dalam AIICT 2012.
Liputan program disediakan oleh MEDIASENA. Nantikan video temubual MEDIASENA bersama wakil panel penilai dalam Galeri Video SK Sena.