PECIPTA 2013
- Butiran
- Dikemaskini pada Isnin, 11 November 2013 08:13
- Diterbitkan pada Ahad, 10 November 2013 19:19
- Pengarang: SK Sena
KUALA LUMPUR CONVENTION CENTER - Inovator muda Kelab Jurutera Tunas Muda, EYReC-MINDS Young Researchers Club, Chapter SK Sena sekali lagi meraih kejayaan cemerlang apabila memenangi Pingat Perak dan Anugerah Khas daripada Association of Young Innovator and Scientist (AYISI), Indonesia dalam Persidangan dan Ekspo Ciptaan Institusi Pengajian Tinggi Antarabangsa (PECIPTA) 2013 di sini pada 9 November 2013 yang lalu. Program tersebut yang dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dengan kerjasama Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Universiti Utara Malaysia (UUM) telah berlangsung sejak 6 November, dan menerima sokongan daripada pelbagai institusi pengajian tinggi di seluruh negara. Selain itu, terdapat juga penyertaan antarabangsa, antaranya dari Qatar, Mesir dan Thailand.
SK Sena yang diwakili oleh Muhammad Danish bin Saidar, Syed Ahmad Muaz bin Syed Zainal Abidin Khilmi, Muhammad Rafiq bin Mohd Redzuan dan Muhammad Ehsan bin Zubaidi mengambil bahagian dalam kategori Young Inventors yang turut disertai oleh sekolah-sekolah menengah seluruh negara dan pelajar-pelajar universiti yang bernaung di bawah EYReC-MINDS Young Researchers Club. SK Sena merupakan satu-satunya pasukan sekolah rendah yang hadir untuk menyertai pertandingan berkenaan.
Produk SK Sena, BreadFriend turut mendapat sambutan yang menggalakkan daripada para pengunjung. Antara pihak yang memberikan komen dan pandangan yang amat positif ialah Cradle Fund Sdn Bhd, sebuah agensi di bawah Kementerian Kewangan Malaysia yang berfungsi untuk menyalurkan dana bagi membantu membangunkan projek-projek keusahawanan di negara ini. Ulasan mereka tentang projek BreadFriend boleh didapati di laman Facebook agensi berkenaan, https://www.facebook.com/cradlefundsb. Pada masa yang sama, pameran SK Sena turut mendapat liputan pihak akhbar, termasuk daripada Utusan Malaysia, Berita Harian dan Harian Metro.
Pihak sekolah mengucapkan tahniah kepada anggota-anggota pasukan Kelab Jurutera Tunas Muda yang telah mengharumkan nama sekolah di peringkat antarabangsa, serta mengharapkan agar kejayaan tersebut menjadi batu loncatan ke arah mencapai kecemerlangan yang lebih hebat pada masa akan datang. Sekalung penghargaan disampaikan kepada pihak UniMAP dan UUM atas kerjasama, sokongan dan bantuan bagi menjayakan penyertaan SK Sena dalam PECIPTA 2013.