Lawatan Sektor ICT JPN Kedah
- Butiran
- Dikemaskini pada Isnin, 11 November 2013 17:16
- Diterbitkan pada Isnin, 11 November 2013 17:13
- Pengarang: SK Sena
SK SENA, Kangar - Sekolah Kebangsaan Sena hari ini menerima lawatan daripada Sektor Pengurusan Maklumat & ICT, Jabatan Pendidikan Negeri Kedah melibatkan seramai 25 orang pegawai JPN Kedah, PPD Kota Setar dan wakil-wakil sekolah. Rombongan tersebut yang tiba di SK Sena pada jam 11.30 pagi diketuai oleh En. Abd Halim bin Ahmad, Ketua Sektor Pengurusan Maklumat & ICT, JPN Kedah. Beliau juga merupakan salah seorang panel penilai Anugerah Kepimpinan Teknologi Maklumat & Komunikasi (TMK) yang hadir di SK Sena dalam sesi penilaian melibatkan Guru Besar, En. Roslan bin Yatim pada bulan Mac yang lalu. Turut hadir ialah Ketua Sektor Pengurusan Maklumat & ICT, Jabatan Pendidikan Perlis, En. Mohd. Kadri bin Ibrahim.
Ketibaan rombongan JPN Kedah itu disambut oleh para pentadbir sekolah dan kru MEDIASENA yang bertugas sebelum dibawa ke Bilik Mesyuarat untuk satu sesi taklimat ringkas dan soal-jawab tentang aktiviti-aktiviti kecemerlangan ICT yang dilaksanakan di SK Sena. Pembentangan kali ini berfokus kepada penggunaan Perisian Sumber Terbuka dan Bebas (Free and Open Source Software, FOSS) secara menyeluruh dalam program-program latihan dan penerbitan bahan multimedia, serta pembentukan modal insan yang kreatif dan berdayasaing dalam MEDIASENA.
Sejurus selepas itu, para ahli rombongan telah sudi melawat ke sekitar kawasan SK Sena, khususnya ke bilik-bilik khas yang menjadi infrastruktur utama ICT sekolah. Lawatan tapak berkenaan bermula di OSSLab, di mana kru yang bertugas menunjukkan demonstrasi penggunaan perisian-perisian Blender 3D, Scratch dan Tux Paint. Seterusnya, para hadirin dibawa ke Studio CyKidzCRAZE untuk satu sesi temubual bersama wartawan MEDIASENA. Lawatan tersebut kemudian bergerak ke makmal Kemahiran Hidup untuk jamuan makan tengahari yang telah disumbangkan oleh Sektor Pengurusan Maklumat & ICT, Jabatan Pendidikan Perlis. Slot terakhir dalam program lawatan berkenaan ialah sesi simulasi latihan pembangunan model 3D menggunakan perisian Blender di Makmal Komputer SK Sena.
Pihak sekolah menyampaikan penghargaan kepada Sektor Pengurusan Maklumat & ICT, Jabatan Pendidikan Negeri Kedah serta para pegawai yang hadir atas kesudian mengunjungi SK Sena. Ucapan terima kasih turut ditujukan kepada Sektor Pengurusan Maklumat & ICT, Jabatan Pendidikan Perlis atas kerjasama dan sumbangan yang diberikan dalam menjayakan program tersebut. Liputan program disediakan oleh MEDIASENA. Nantikan video temubual dalam Galeri Video SK Sena.