MEDIASENA Di BTP, RTM
- Butiran
- Dikemaskini pada Khamis, 21 November 2013 13:59
- Diterbitkan pada Khamis, 21 November 2013 13:59
- Pengarang: SK Sena
KUALA LUMPUR - Sekolah Kebangsaan Sena melalui bidang kebitaraan ICT, S.E.N.A CyQUEST dan Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri (BTPN) Perlis telah menganjurkan Bengkel Profesionalisme MEDIASENA pada 18 hingga 20 November 2013 melibatkan seramai 26 orang anggota pasukan tersebut bersama 6 orang guru pengiring dan 5 orang pegawai BTPN Perlis. Bengkel tersebut yang merupakan sebahagian daripada Program Anak Angkat Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP), Kementerian Pendidikan Malaysia bertujuan untuk meningkatkan tahap pengetahuan dan kecekapan bekerja dalam kalangan kru MEDIASENA sebagai badan penerbitan multimedia SK Sena.
Bengkel Profesionalisme MEDIASENA 2013 bermula di BTP, Bukit Kiara di mana para peserta bengkel telah disambut oleh para pegawai BTP seawal jam 8.30 pagi dan diberi taklimat tentang aktiviti yang akan dijalankan. Seterusnya, para peserta dibawa ke studio penerbitan televisyen untuk melihat kemudahan-kemudahan yang terdapat dalam studio tersebut dan kaedah penerbitan yang dijalankan di sana. Murid-murid yang terlibat turut berpeluang untuk cuba menggunakan peralatan-peralatan seperti kamera profesional, kamera penyiaran, teleprompter dan set berita yang ada di studio berkenaan. Selesai sesi di studio televisyen, bengkel pada hari tersebut diteruskan pula dengan sesi taklimat tentang aspek-aspek teknikal penerbitan dan kawalan rakaman di bilik kawalan studio yang berfungsi untuk mengawal pencahayaan, adunan video, skrip dan banyak lagi, sebelum bergerak pula ke studio muzik untuk meninjau cara-cara menghasilkan lagu secara rakaman track-by-track. Hari pertama bengkel di BTP berakhir dengan lawatan ke Van Penyiaran Luar (Outside Broadcast Vehicle), iaitu kenderaan yang dilengkapi dengan peralatan rakaman dan suntingan untuk tujuan siaran langsung dari luar studio. Para peserta rombongan telah diberi kebenaran khas untuk masuk dan melihat sendiri kemudahan-kemudahan yang terdapat di dalam kenderaan tersebut.
Hari kedua program menyaksikan para peserta bengkel berada di Radio Televisyen Malaysia (RTM), Angkasapuri untuk melihat dengan lebih dekat kemudahan dan proses penerbitan di stesen tersebut. Tinjauan MEDIASENA bermula di Wisma TV dengan sesi awal di Studio 1 yang dipasang dengan set rancangan "Dialog". Para peserta kemudiannya dibawa pula ke Studio 2 di mana siaran langsung rancangan "Selamat Pagi 1Malaysia (SP1M)" sedang dijalankan. Kru MEDIASENA yang hadir dapat melihat sendiri bagaimana penerbit dan pengadun video mengawal penerbitan rancangan berkenaan di bilik kawalan Studio 2, dan merasai pengalaman berada di set penerbitan rancangan tersebut. Tinjauan di Wisma TV diteruskan ke Studio 3, iaitu studio penerbitan berita yang memaparkan kemudahan chroma-key atau lebih dikenali sebagai green-screen dan bilik persolekan RTM. Kemudian, rombongan SK Sena dibawa ke Wisma Radio yang menempatkan Auditorium Perdana, Auditorium P. Ramlee, serta konti-konti radio di bawah seliaan RTM seperti Klasik Nasional, Asyik FM, Ai FM dan banyak lagi. Majlis penutup untuk hari kedua bengkel telah diadakan di Muzium Penyiaran RTM.
SK Sena menyampaikan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak Bahagian Teknologi Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia, Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Perlis dan Radio Televisyen Malaysia atas kerjasama, sokongan dan bimbingan yang diberikan dalam menjayakan Program Anak Angkat BTP dan Bengkel Profesionalisme MEDIASENA 2013. Ucapan terima kasih turut ditujukan kepada semua pihak yang telah memberikan sumbangan dalam pelbagai bentuk sama ada secara langsung atau tidak langsung.
Nantikan video program dan temubual dalam Galeri Video SK Sena.