Mensasarkan Kejayaan
- Butiran
- Dikemaskini pada Selasa, 09 Julai 2013 13:59
- Diterbitkan pada Isnin, 19 April 2010 08:39
- Pengarang: Roslan Yatim
Assalamu'alaikum Warahmatullah,
Segala puji bagi Allah, salawat dan salam ke atas Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam.
Kebelakangan ini, majlis perhimpunan mingguan Sekolah Kebangsaan Sena jarang sunyi daripada upacara penyampaian hadiah, sama ada sijil, piala atau pingat kepada murid-murid yang mencapai kejayaan dalam pelbagai bidang. Pagi ini, seperti biasa kita menyampaikan semula beberapa hadiah yang telah dimenangi oleh sebahagian murid, supaya kejayaan mereka menjadi contoh kepada murid yang lain untuk menanam azam mencipta kegemilangan yang sama untuk diri mereka pula. Pagi ini, senarainya melibatkan pemenang-pemenang tempat kedua dan ketiga perseorangan dan beregu Tennis Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Perlis (MSSPs) Bawah-12, tempat kedua dan ketiga perseorangan dan beregu Badminton MSSPs Bawah-12 dan anugerah Penjaga Gol Terbaik untuk wakil SK Sena dalam kejohanan Bola Sepak MSSPs Bawah-12 yang menyaksikan pasukan PKP Kangar yang beliau wakili menjadi Johan. Seperti yang saya katakan kepada para guru dan murid hari ini, habuan daripada setiap kejayaan tersebut akhirnya pulang kepada murid yang berjaya. Sekolah tidak mengambil atau menyimpan apa-apa yang telah dianugerahkan kepada mereka, cukup sekadar menumpang bangga dan gembira. Tahniah dan terima kasih.
Satu kesimpulan yang dapat kita ambil daripada pengamatan tersebut ialah usaha yang gigih dan berterusan akhirnya akan membawa kepada kejayaan. Melalui perancangan awal dan persediaan yang rapi, hari ini senarai kejayaan keseluruhan SK Sena dalam pelbagai bidang mencecah 141 pencapaian, tanpa mengambil kira kejayaan-kejayaan yang masih belum direkodkan. Yang ingin saya tekankan di sini ialah, betapa pentingnya para guru memberikan perhatian yang serius dalam usaha kita membantu murid-murid untuk terus meraih kejayaan demi kejayaan pada masa hadapan. Kita sebagai guru bertanggungjawab untuk menetapkan dan menanamkan matlamat yang betul dalam diri setiap murid, agar mereka faham bahawa kejayaan yang mereka capai, dan usaha yang mereka lalui untuk mencapai kejayaan tersebut, bukan sesuatu yang terhenti setakat pertandingan yang mereka sertai semata-mata. Semua itu sebenarnya merupakan sebahagian daripada usaha bersama untuk membentuk peribadi yang terpuji dan keyakinan yang tinggi dalam diri murid-murid di SK Sena. Kita juga bertanggungjawab untuk mengenalpasti potensi yang ada dalam diri setiap murid, serta berusaha untuk mengembangkan potensi tersebut ke tahap yang dapat membuahkan hasil. Tidak dinafikan, kadangkala sukar untuk kita melihat potensi yang tersembunyi tanpa kesanggupan daripada murid itu sendiri untuk menyerlahkan bakat yang ada. Disebabkan inilah, saya menyeru para murid untuk merebut peluang-peluang yang ada di SK Sena dalam memberi sumbangan kepada sekolah. Sebahagian daripada prasarana dan program yang disediakan di SK Sena tidak dapat dijumpai di mana-mana sekolah lain di Malaysia buat masa ini. Oleh itu, jangan sekali-kali peluang seperti ini dilepaskan tanpa sebarang usaha untuk melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti yang dijalankan.
Dengan rekod pencapaian dan kemenangan yang ada pada SK Sena hari ini, bukan sesuatu yang mustahil untuk kita terus berusaha mencapai lebih banyak kejayaan. Komitmen yang ditunjukkan oleh para guru dan murid apabila menyertai satu-satu pertandingan membuktikan bahawa kita sebenarnya mahu SK Sena terus gemilang. Seruan saya, jadikanlah usaha melalui perancangan yang bermatlamat serta latihan yang sistematik dan berterusan sebagai asas perjuangan kita dalam mengharumkan nama SK Sena hingga ke persada antarabangsa. InsyaAllah, kejayaan yang kita sasarkan akan datang, dan Dataran Sena tidak akan sunyi daripada menghargai para pemenang.
"BERKHIDMAT UNTUK NEGARA"
Saya yang menurut perintah,